Thursday, January 20, 2011

Kaedah dan Teknik pengajaran

Kaedah dan Teknik pengajaran

Mengikut Kamus Dewan, Kaedah bermaksud cara atau aturan (membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Justeru itu, sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat. Kaedah pengajaran adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tindkah laku yang agak kekal dalam diri seseorang yang lain.

Kaedah pengajaran yang biasa digunakan di sekolah

- Kaedah Kuliah
- Kaedah Perbincangan
- Kaedah Penyoalan / Socratik
- Kaedah Inquiri penemuan / Eksperimen
- Kaedah Tunjukcara/Demonstrasi
- Kaedah Penyelesaian Masalah
- Kaedah Projek
- Kaedah Lawatan
- Kaedah Bercerita
- Kaedah Bermain
- Kaedah Kuiz
- Kaedah Lakonan
- Kaedah ProjekLatih tubi
- Kaedah Penyelesaian Masalah


DEFINISI

Menurut Kamus Dewan (edisi ketiga), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya.Menurut Edward M. Anthony mendefinisikan teknik adalah satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru yang mencapai hasl segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu.Mengikut Kamaruddin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dalam bukunya Pengajian Melayu III : Komunikasi Bahasa, teknik boleh didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif.Kesimpulannya,Teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk pelajar-pelajarnya. Teknik yang dipilih haruslah sejajar dengan kaedah yang digunakan dan seirama dengan pendekatan yang dianuti.

Teknik-teknik Pengajaran
1. Teknik main peranan
2. Teknik permainan
3. Teknik latih tubi
4. Teknik perbahasan
5. Teknik sumbangsaran
6. Teknik soal jawab
7. Teknik simulasi
8. Teknik drama
9. Teknik perbincangan
10. Teknik forum
11. Teknik dialog

TUJUAN TEKNIK

1. Menarik Minat murid
2. Mengekalkan perhatian
3. Membangkitkan ras ingin tahu

Dalam memilih Kaedah dan teknik yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru haruslah bijak untuk menyesuaikan kaedah dan teknik tersebut sesuai dengan subjek dan kemahiran yang hendak disampaikan. Misalnya, kaedah pengajaran secara Inkuiri penemuan atau kaedah eksperimen lebih popular dan sesuai digunakan dalam pengajaran Sains berbanding pengajaran Bahasa.
Bagi pelajar pula, ia terbahagi kepada kaedah penyampaian secara:
i. Kaedah Individu
ii. Kaedah Berkumpulan


PENGAJARAN SECARA INDIVIDU

Pengajaran secara individu biasanya mengamalkan cara pengajaran yang menumpukan perhatian terus kepada seseorang murid tertentu dengan bahan-bahan pengajaran yang dikhaskan kepadanya. Pengajaran cara ini diasaskan kepada pengakuan bahawa seitap murid adalah berbeza dari segi intelek, minat, kecekapan, daya cipta, dan kebolehan-kebolehan lain. Kesemua pengajaran individu diwujudkan dengan mengambil kira perbezaan pencapaian serta kadar kepantasn murid. Pengajaran cara ini pada keseluruhannya bertujuan supaya murid-murid boleh belajar mengikut kemampuan sendiri. Pengajaran secara individu ini boleh dijalankan dalam dua bentuk mengikut tujuan dan objektifnya. Pertama ia boleh dilakukan seperti pengajaran biasa yang bertujuan untuk mengatasi masalah-masalah pembelajaran yang dihadapi oleh individu-individu tertentu. Biasanya, guru akan memberi perhatian yang teliti dan rapi kepada individu tersebut dan cuba membantunya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Untuk satu pembelajaran yang lebih berkesan, pengajran bentuk ini tidak menggalakkan jumlah bilangan murid yang besar kerana perhatian tidak dapat dilakukan sepenuhnya. Pengajaran secara individu ini amat sesuai untuk pengajaran pemulihan. Bentuk kedua yang boleh dilakukan ialah terhadap murid-murid yang maju dalam pembelajaran mereka. Pengajaran secara individu bukan bertujuan untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran mereka. Biasanya, murid-murid akan menggunakan kebijaksanaan mereka sendiri untuk belajar tanpa bergantung sangat kepada guru. Hubungan murid dengan guru adalah paling minimal. Segala sumber pembelajaran dirancangkan supaya setiap pelajar mengkaji objektif pembelajarannya dan bertindak sendiri untuk mencapai objektif-objektif ini. Bahan-bahan belajar sendiri disusun dengan tujuan supaya murid akan mencapai kemajuannya sendiri mengikut kebolehan dan keupayaan masing-masing, dan untuk membolehkan murid-murid mencapai objektif mereka pada lain-lain masa. sistem ini menegaskan fleksibiliti dari segi masa, aktiviti-aktiviti diagnostik dan pemulihan, pemilihan bahan-bahan mengikut kemampuan sendiri serta tempat belajar dan cara mempelajarinya. Dalam sistem yang lengkap, media seperti bahan-bahan bercetak, bahan-bahan tayangan, filem slaid atau strip, pita rakaman video, dan lain-lain boleh digunakan. Aktiviti pengajaran terancang atau pukal pembelajaran sendiri adalah amat penting.


PENGAJARAN SECARA KUMPULAN

Pengajaran secara kumpulan meminta pengajaran guru dihadkan kepada murid-murid dalam satu-satu kumpulan tertentu. Lazimnya bahan-bahan yang digunakan adalah berbeza di antara satu kumpulan dengan satu kumpulan yang lain, dan pengajaran dijalankan dalam keadaan kerusi meja yang disusun secara berkelompok. Ada dua bentuk kumpulan yang boleh dilaksanakan dalam kelas. Pertama kumpulan mengikut kebolehan atau pencapaian, iaitu murid-murid yang lebih kurang sama taraf kebolehan mereka diletakkan dalam satu kumpulan berdasarkan keputusan ujian atau lain-lain cara pengukuran kebolehan otak murid-murid. Kedua, ialah kumpulan mengikut pelbagai kebolehan dan kecenderungan.

PENDEKATAN, KAEDAH, TEKNIK DAN STRATEGI PENGAJARAN.

Bertemu kembali.
Lihat kembali topik yang dibincangkan pada bulan Mei 2010.
Fokus perbincangan dan topik yang saya kemukakan sebenarnya masih lagi berkisar pada Tugas Rasmi Guru Sekolah Rendah yang ke-3 iaitu, Tugas Mengajar.
Perbincangan tentang tugas guru yang ke-3 ini iaitu sebagai tenaga pengajar amat luas untuk dibincangkan. Ia meliputi kemahiran yang diperlukan, teori-teori pendidikan, strategi, teknik dan kaedah pengajaran serta dasar-dasar dan program-program Jabatan Pelajaran seperti program LINUS, KIA 2M, NILAM PROTIM dan sebagainya. Pengetahuan, kefahaman dan kemahiran-kemahiran dalam perkara-perkara yang saya nyatakan inilah sebenarnya yang harus dimiliki oleh seorang guru yang masuk ke kelas untuk mengajar.

PENDEKATAN, KAEDAH, TEKNIK DAN STRATEGI PENGAJARAN?



Mok Soon Sang 1992, Pedagogi 2 m.s. 8

• Pendekatan – jalan yang diambil
• Kaedah – cara teratur, kemas & sistematik
• Teknik - kaedah membentuk teknik. Misalnya kaedah bercerita = teknik menyampaikan cerita (gaya); kemahiran menyampaikan cerita; pelbagai teknik.


1. Strategi Pemusatan Guru
2. Strategi Pemusatan Murid
3. Strategi Pemusatan Bahan Pelajaran


CIRI-CIRI STRATEGI PEMUSATAN GURU?

• Guru memainkan peranan penting
• Komunikasi sehala. Guru banyak bercakap.
• Kepimpinan guru secara autokratik
• Pencapaian objektif guru diutamakan
• Penyebaran ilmu pengetahuan lebih diutamakan daripada penyuburan nilai murni/perkembangan emosi.
• Penyampaian fakta secara menghafal. Pembelajaran berbentuk mengingat/menghafal.
• Interaksi di antara murid adalah pasif.
• Kaedah keseluruhan kelas.
• Murid-murid kurang kreatif/ tidak berinitiatif.•
Kaedah & Teknik – penerangan, demonstrasi, syarahan, kumpulan/pasukan, bercerita, keseluruhan kelas.


CIRI-CIRI STRATEGI PEMUSATAN MURID?

• Murid memainkan peranan penting
• Komunikasi dua hala. Guru menyoal/membimbing.
• Kepimpinan guru secara demokratik. Perbincangan/galakan murid memberi pendapat,
• objektif pencapaian murid diutamakan
• perkembangan murid secara menyeluruh/seimbang ( j.e.r.i.)
• Ujian formatif digunakan bagi membaiki kelemahan murid.
• Penyampaian guru untuk pembelajaran bermakna, memahami & membuat kesimpulan,
• Peluang interaksi di antara murid adalah positif (bekerjasama, bertolak ansur, tolong-menolong)
• Kaedah kumpulan/perbezaan & minat murid dipupuk,
• Murid-murid bersifat kreatif/ berinitiatif.
• Kaedah & Teknik – projek, inkuiri-penemuan, perbincangan, penyoalanan, penyelesaian masalah, simulasi, main peranan, sumbangsaran, kumpulan kecil dsb.


CIRI-CIRI STRATEGI PEMUSATAN BAHAN PELAJARAN?

• Bahan pelajaran memainkan peranan penting.Pergantungan kepada bahan untuk mencapai objektif pengajaran.
• Komunikasi/interaksi berlaku antara guru/bahan atau murid/bahan pembelajaran
• Kecekapan/kemahiran penggunaan bahan pengajaran-pembelajaran diutamakan
• Penekanan kepada jasmani, rohani, dan kognitif. Murid dilatih dalam kemahiran, kefahaman dan berdikari.
• Pengajaran bermakna, menarik dan berkesan.
• Peluang interaksi antara muid banyak. Sifat social yang positif dapat dipupuk melalui kaedah kumpulan kecil – ujikaji, projek, perbincangan dsb.
• Pengetahuan abstrak dapat dijadikan konkrit dengan adanya bahan-bahan pelajaran
• Kaedah & Teknik – komputer, bahan cetak, modul, buku teks, buku rujukan, kamus, perakam pita, carta, peta, geraf, spesimen, slaid, video, televisyen, projektor, dsb.

PENDEKATAN DAN STRATEGI KESEPADUAN?

• Penggabungjalinan
o Proses penyampaian beberapa kemahiran
o Kecekapan melaksanakan aktiviti – membaca, menulis, menghurai, mengira, mewarna, menyanyi, melukis, melabel, mengarang, becerita, berlakon dsb.
o Mendengar, lisan, membaca dan menulis secara bersepadu
o Kemahiran matematik digabungjalinkan dengan kemahiran bahasa
o Ciri-ciri gabugjalin:
 Integrasi beberapa kemahiran
 Prosesnya bersepadu dan menyeluruh
 Aktiviti dipelbagaikan dengan menarik
 Kemahiran utama menjadi fokus
 Organisasi kemahiran fleksibel
 Kemahiran diintegrasikan saling kukuh mengukuh antara satu sama lain.
o Cara mengguna gabungjalin
 Mengenalpasti kemahiran utama & kemahiran sampingan
 Kemahiran utama diberi fokus
 Kemahiran-kemahiran sampingan dikuasai dahulu untuk kukuhkan kemahiran utama
 Kemahiran utama digunakan di peringkat perkembangan pelajaran, kemahiran sampingan digunakan di semua peringkat pelajaran
 Strategi penggabungjalinan kemahiran hendaklah dirancangkan berdasarkan objektif pelajaran, kebolehan & pencapaian murid.
 Kemahiran-kemahiran diintegrasikan dalam urutan yang sesuai. Setiap kemahiran hendaklah dikaitkan dengan kemahiran yang berikutnya secara lojikal.

• Penyerapan
o Proses mengintegrasikan unsur-unsur isi kandungan daripada dua atau lebih mata pelajaran dalam sesuatu pelajaran
o Isi matapelajaran sains dan kajian tempatan diserap menjadi isi mata pelajaran bahasa.
o Pendidikan moral, Pendidikan seni, Pendidikan jasmani & Muzik juga diserapkan dalam program bahasa sebagai aktiviti sokongan.
o Geografi, Sejarah, Kesihatan dan pendidikan moral diserapkan secara bersepadu dalam Sains /Kajian Tempatan.
o Penerapan Nilai murni , kurikulum akademik disepadukan dengan kokurikulum, kurikulum formal disepadukan dengan kurikulum tak formal.
o Ciri-ciri penyerapan :
 Mengandungi beberap unsur ilmu pengetahuan
 Berbagai unsur diserapkan dalam satu matapelajaran
 Bilangan mata pelajaran dalam penyerapan fleksibel
 Organisasi isi kandungan - Unsur utama dan unsur sampingan
 Proses penyerapan boleh berlaku serentak dengan proses penggabungjalinan.


PENDEKATAN DAN STRATEGI PENGAJARAN INDUKTIF
• Mengumpul dan mentafsir maklumat-maklumat kemudian membuat generalisasi/kesimpulan
• Bermula dengan memberi beberapa contoh yang khusus
• Contoh-contoh mempunyai prinsip yang sama
• Murid dibimbing memikir, mengkaji, mengenalpasti & mentafsir maklumat untuk membuat generalisasi/kesimpulan
• Matematik, bahasa dan sains banyak menggunakan pengajaran induktif
• Kaedah inkuiri-penemuan diamalkan apabila mengajar sains
o Contoh kusus ikan emas, udang, sotong, berudu
o Memerhati & mengkaji – bernafas melalui insang
o Mentafsir dan membuat generalisasi – Haiwan hidup dalam air mempunyai insang untuk bernafas.
• Prinsip Penggunaan Strategi Pengajaran Induktif
o Sediakan contoh-contoh yang sesuai
o Soalan-soalan disediakan untuk membimbing membuat kesimpulan
o Guru tidak menghuraikan isi pelajaran, murid dibimbing untuk mencari kesimpulan
o Jenis contoh khusus dipelbagaikan tetapi mengandungi ciri yang sama
o Contoh-contoh khusus yang dipilih haruslah sesuai & mencukupi.
o Murid-murid digalakkan memberi contoh yang sama
o Guru tidak harus memberi contoh sekaligus
o Sediakan alat bantu mangajar
o Penggunaan deria-deria murid dalam aktiviti – lihat, dengar, hidu & sentuh.
o Pengajaran mengikut urutan yang tepat – contoh-contoh spesifik membawa kepada kesimpulan umum.


PENDEKATAN DAN STRATEGI PENGAJARAN DEDUKTIF

• Strategi Pengajaran Deduktif merupakan kaedah mengajar yang kompleks kerana murid perlu memperolehi kefahaman yang mendalam /mencukupi serta berupaya memilih rumus, hukum, teorem, peraturan yang telah dipelajari dengan tepat untuk diaplikasi pada contoh-contoh khusus.
• Bermula daripada berberapa rumus, prinsip, hukum, teorem/peraturan
• Digunakan kesimpulan baru, generalisasi baru daripda rumus, hukum, peraturan
• Proses pengajaran:
o Prinsip/rumus
o Kaedah deduktif
o Aplikasi rumus/prinsip
o Mendapat rumus baru, prinsip baru dsb.
o Guru memberi tahu murid objektif pelajaran pada peringkat awal,
o Murid dibimbing mengingat kembali hukum, prinsip, teori, peraturan bagi mendapat kesimpulan yang baru/ menyelesaikan masalah.

Monday, June 14, 2010

TEORI PSIKOLOGI PENDIDIKAN KOGNITIF

Teori Pendidikan Kognitif merupakan teori pendidikan yang sangat popular dan menjadi panduan dalam bidang pendidikan di seluruh dunia pada abad ini. Teori perkembangan kognitif ialah hasil penyelidikan seorang ahli psikologi dan pendidik yang bernama Jean Piaget yang sangat lama.

Jean Piaget dilahirkan di Nauchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896. Bapanya bernama Arthur Piaget, yang merupakan seorang Profesor Sastera dalam bidang Sejarah dan ibunya pula bernama Rebecca Jackson. Jean merupakan anak pertama yang suka berdikari dan berminat tentang ilmu alam. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 84
tahun, 1981.

Beliau memulakan kariernya sebagai penulis pada usia yang teramat muda iaitu 10 tahun. Selepas tamat sekolah menengah, Jean melanjutkan pelajaran ke Universiti Nauchatel. Beliau mendapat PhD semasa berumur 22 tahun.

Jean mula meminati Psikologi apabila beliau terpilih menjadi pengarah makmal Psikologi di Universiti Jeneva. Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai ketua "Swiss Society for Psychologist." Dalam bidang Psikologi, Jean merupakan salah satu tokoh yang amat penting di abad ke dua puluh. Latar belakang beliau ini memberikan banyak sumbangan kepada bidang psikologi setelah beliau bekerja dengan Binet bagi membentuk ujian keceredasan mental. Semasa bekerja dengan Binet, Jean tidak berminat untuk melihat hasil jawapan betul yang diberikan oleh kanak-kanak, tetapi lebih berminat untuk melihat pola-pola perlakuan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak apabila mereka memberikan jawapan yang salah. Pada pandangan Jean, pola-pola perlakuan ini boleh memberikan petunjuk bagi pengetahuan bagaimana proses pembentukan pemikiran berkembang di kalangan kanak- kanak. Ekoran daripada itu, teori yang beliau kemukakan adalah memfokuskan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak.

Piaget telah memajukan idea-ideanya mengenai perkembangan manusia sejak dari bayi sehingga dewasa.Dalam kajian yang dilakukan Piaget, kebanyakannya tertumpu ke arah perkembangan intelek.

Teori ini melihat bagaimana manusia dari peringkat bayi sehingga dewasa mampu bertutur kata, menyelesaikan masalah dan menjadi cerdas dalam pemikiran mereka. Dalam hal ini Piaget cuba menerangkan bagaimana manusia mampu membentuk dan mengembangkan kebolehan mereka, menyimpan pengalaman-pengalaman lalu di dalam fikiran dan seterusnya juga mampu menyelesaikan masalah yang semakin hari bertambah kompleks untuk difikirkan. Hampir kesemua teori-teorinya berasaskan pemerhatiannya terhadap kanak-kanak di dalam persekitaran hidup mereka.
Piaget juga melakukan pemerhatian dan kajiannya berdasarkan tiga orang anaknya ketika mereka masih kecil lagi.

Dapat dilihat dalam kesemua pemerhatian dan kajian yang Piaget lakukan tidak melihat ke arah baka, persekitaran atau kesan personaliti melalui tingkah lakunya, tetapi Piaget melihat dari sudut Ontogeni, iaitu proses perkembangan individu dan struktur kecerdasan individu tersebut.
Mengikut Piaget, pembelajaran berlaku secara asimilasi dan akomodasi. Contoh asimilasi ialah pemakanan biologi iaitu kanak-kanak menerima maklumat persekitaran seperti cara-cara mereka makan dan menyerap makanan. Akomodasi pula ialah perubahan fizikal atau struktur organisma akibat pemakanan.

Kanak-kanak akan cuba mengikut perkara-perkara yang mereka ketahui. Tetapi pengalaman itu akan mengubah pengetahuan mereka iaitu proses akomodasi.
Akomodasi membolehkan kanak-kanak membuat asimilasi idea-idea yang bertambah kompleks. Pemahaman melalui asimilasi, manakala pemahaman baru hanya dapat berlaku dengan cara akomodasi.
Menurut Piaget, terdapat empat peringkat perkembangan intelek.
1 Peringkat deria motor (0 hingga 2 tahun)
Pada peringkat ini, kanak-kanak banyak mengunakan deria motor seperti memegang untuk berinteraksi dan memahami alam sekitarnya. Kanak-kanak juga belum memperoleh kewujudan objek. Ini bermaksud apabila suatu objek yang pernah dilihat disimpan, maka mereka akan beranggapan objek itu tidak ada lagi.
2 Peringkat praoperasi (2 hingga 7 tahun)
Pada peringkat ini, kanak-kanak menggunakan simbol untuk mewakili objek-objek yang dilihatnya. Kanak-kanak mula bertutur tetapi pertuturannya bersifat egosentrik iaitu topik perbualan berkisar tentang dirinya.
Kanak-kanak juga belum memperoleh konsep pengekalan. Misalnya, dua biji gelas yang diisi air dengan isi padu yang sama dalam bentuk yang tidak sama saiznya. Mereka sebenarnya masih belum dapat membezakan isi padu air itu adalah sama dan mengatakan gelas yang lebih tinggi pasti mempunyai isi padu air yang lebih banyak.
3 Peringkat operasi konkrit (7 hingga 11 tahun)
Kanak-kanak hanya dapat menyelesaikan satu-satu masalah yang melibatkan peristiwa atau objek yang konkrit. Mereka sudah boleh menerima pendapat orang.
4 Peringkat operasi formal (11 hingga dan ke atas)
Penaakulan dan fikiran secara abstrak mula terbentuk. Mereka sudah boleh menggunakan prinsip-prinsip untuk menyelesaikan masalah konkrit dan abstrak serta membentuk hipotesis ketika menyelesaikan sesuatu masalah.
Ahli psikologi kognitif menyatakan bahawa pembelajaran ialah satu proses dalaman.yang menyebabkan perubahan tingkahlaku seseorang terhadap sesuatu situasi yang khusus. Perubahan tingkahlaku dianggap cuma mencerminkan perubahan dalaman yang sukar untuk diperhatikan seperti pengetahuan ,perasaan ,harapan dan pemikiran. Menurut Bruner untuk mengajar sesuatu tidak perlu menunggu sehingga kanak-kanak mancapai tahap perkembangan tertentu. Aspek pentingnya ialah bahan pengajaran harus disediakan dengan baik. Dengan lain perkataan perkembangan kognitif seseorang dapat ditingkatkan dengan cara mengatur bahan yang akan dipelajari dan menyajikannya sesuai dengan tingkat perkembangannya. Penerapan teori Bruner yang terkenal dalam dunia pendidikan adalah kurikulum spiral di mana bahan pelajaran yang sama dapat diberikan mulai dari tahap rendah sehingga ke tahap menengah, disesuaikan dengan tingkat perkembangan kognitif mereka. Cara belajar yang terbaik menurut Bruner ini adalah dengan memahami konsep, makna dan hubungan melalui proses intuitif dan seterusnya menghasilkan suatu kesimpulan.
Menurut Hartley & Davies (1976), prinsip-prinsip kognif dari beberapa contoh di atas banyak diterapkan dalam dunia pendidikan khususnya dalam melaksanakan kegiatan perancangan pembelajaran. Prinsip-prinsip tersebut adalah seperti berikut
a) Pelajar akan lebih mampu mengingat dan memahami sesuatu apabila pelajaran
tersebut disusun berdasarkan pola dan logik tertentu.
b) Penyusunan bahan pelajaran dari sederhana ke rumit.
c) Pembelajaran dengan memahami lebih baik dari pada menghafal tanpa pemahaman.
Sesuatu yang baru harus sesuai dengan apa yang telah diketahui pelajar sebelumnya.
d) Tugas guru di sini adalah menunjukkan hubungan apa yang telah diketahui
sebelumnya.
e) Adanya perbezaan individu yang harus diperhatikan dan faktor ini mempengaruhi
proses pembelajaran pelajar.
Kognitif berkaitan dengan mental,dan ianya berkait rapat dengan ingatan jangka panjang dan ingatan jangka pendek. Ini boleh dilihat melalui teori Pemprosesan Maklumat. Teori ini menumpukan kepada bagaimana pelajar memproses maklumat oleh pelajar . Maklumat yang baru disimpan dalam ingatan jangka pendek. Kemudian diproses sebelum disimpan ke ingatan jangka panjang. Kombinasi pengetahuan (maklumat yang diproses) dan kemahiran di ingatan jangka panjang akan membina strategi-strategi kognitif atau kemahiran yang berkaitan dengan tugas-tugas yang kompleks. Langkah langkah pengajaran mengikut teori pemprosesan maklumat disampaikan seperti berikut.
a) Perhatian pelajar :
Permulaan pengajaran dengan memberikan set induksi yang dapat menarik perhatian
pelajar kepada guru dan pengajaran.

b) Membawa ingatan pelajar pada tajuk yang berkaitan. Perbincangan tajuk-tajuk lepas
yang sudah dipelajari dan dikaitkan dengan topik yang kan diajar.

c) Penekanan terhadap isi pelajaran yang penting ( utama).
Pengajaran pembelajaran sesuatu tajuk disampaikan dengan penggunaan bahan bantu
mengajar yang bertepatan dengan tajuk yang akan disampaikan.

d) Persembahkan maklumat dengan teratur dengan menggunakan bahan bantu mengajar
yang bersesuaian.

e) Tunjukkan pelajar bagaimana mengkategorikan maklumat yang diterima. Guru
membantu dan memberikan bimbingan kepada pelajar untuk melaksanakan
memahami dan pembelajaran.

f) Beri peluang kepada pelajar untuk mengembangkan maklumat yang baru diterima

g) Pengulangan Contoh ialah mengingatkan pelajar beberapa isi penting yang dipelajari
(ingatan janga pendek) dan menyediakan beberapa aktiviti atau latihan yang berkaitan
dengan pelajaran lepas ( ingatan jangka panjang)
Fahaman psikologi gestalt telah menjadi asas kepada perkembangan psikologi kognitif. Psikologi gestalt telah diasaskan di Jerman. Perkataan “gestalt” adalah perkataan dalam bahasa Jerman yang bermaksud “pola” (pattern atau configuration). Tetapi, fahaman gestalt lebih mendalam daripada kata-kata tersebut. Ahli-ahli gestalt berpendapat, dalam mengkaji subjek dari aspek psikologikal daripada proses pemerhatian yang mudah kepada personalitinya, kita perlu melihat polanya sebagai satu keseluruhan (as a whole). Teori gestalt dirumuskan sebagai “the whole is greater than the sum of its parts”.Kohler, salah seorang pengasas psikologi gestalt, melalui kajiannya ke atas seekor cimpanzi(Sultan) telah mengemukakan konsep ‘celik akal’ (insight). Celik akal bermaksudpenyelesaian masalah berlaku secara mendadak atau tiba-tiba dan lengkap. Bagaimanapun,individu memerlukan masa untuk berfikir kerana dia perlu melihat unsur-unsur berkaitanyang ada dalam persekitarannya dan mengaitkannya dengan pengalaman lepas.Dalam kajiannya, Kohler telah meletakkan seekor cimpanzi bernama Sultan yang lapar dalamsebuah sangkar. Di luar sangkar terdapat sebiji pisang dan beberapa batang buluh yangpanjangnya berbeza-beza. Sultan cuba mendapatkan pisang beberapa kali denganmenggunakan buluh tersebut, tetapi gagal. Sultan duduk berdiam diri seketika, mengamatibuluh-buluh dan memikirkan alternatif-alternatif untuk menyelesaikan masalahnya.Tiba-tibadia mendapat idea. Di
saat tercetusnya idea itulah yang dikenali sebagai celik akal. Dia mengambil buluh pendek dan menggunakannya untuk mendapat buluh panjang danseterusnya menggunakannya untuk mengambil pisang.

Ahli-ahli lain yang mendukung teori psikologi kognitif termasuklah Max Wertheirmer, Kurt Kuffka, Wolfgang Kohler (mereka ini merupakan ahli-ahli psikologi kognitif terdahulu yang juga dikenali sebagai ahli psikologi Gestalt) sementara yang lain termasuklah Edward Tolman, Jean piaget, Jerome Bruner, David Ausubel dan Robert Gagne.

Sebagai kesimpulannya terdapat beberapa teori psikologi pendidikan yang telah dipolopori oleh ahli-ahli psikologi dalam usaha mereka untuk mencari kaedah pembelajaran yang lebih berkesan. Lahirnya teori-teori ini sebenarnya telah mengambil masa yang agak lama yang diakibatkan oleh pelaksanaan melalui pelbagai eksperimen dan kajian-kajian yang mampu membuktikan kesesuaian teori-teori tersebut. Sehingga ini saya telah membawa saudara mengetahui serba sedikit tentang teori pendidikan berlandaskan Teori Behaviorisma dan Teori Kognitif. Antara kedua-dua teori ini dapatlah disimpulkan bahawa menurut teori behaviorisma, pembelajaran adalah perubahan tingkahlaku yang berlaku dalam diri seseorang individu yang disebabkan oleh pengalaman. Behaviorisma menumpukan perhatian terhadap aspek perubahan tingkah laku manusia yang dapat diperhatikan dan boleh diukur. Sementara ahli psikologi kognitif pula berpendapat bahawa pembelajaran adalah proses mental yang aktif untuk mendapat, menyimpan, mengingat bagi mendapatkan ilmu. Fokus ahli psikologi kognitif ialah terhadap proses aktif minda individu untuk memahami persekitarannya. Ahli psikologi kognitif kini berpendapat bahawa pembelajaran melibatkan dua proses mental yang utama iaitu persepsi (pengamatan) dan pembentukan konsep (penanggapan) yang betul. Gagne melihat proses pembelajaran sebagai langkah-langkah individu memproses maklumat. Ausubel pula telah mengemukakan pembelajaran resepsi dan bermakna dan seterusnya, Bruner mengemukakan pembentukan konsep dan pembelajaran penemuan.

Sebagai seorang pendidik dan tenaga pengajar di sekolah, seseorang guru sudah seharusnya dapat memahami teori-teori pendidikan ini dengan jelas. Ini penting supaya mereka mampu menterjemahkannya melalui model-model pembelajaran, kaedah serta teknik-teknik pengajaran yang lebih baik dan berlandaskan kepada teori-teori pembelajaran tersebut.

(pada pertemuan yang akan datang saya akan cuba pula untuk membawa para pengunjung blog ini untuk mengetahui bagaimana teori-teori pendidikan ini diaplikasikan dalam proses P&P beberapa mata pelajaran seperti Sains di kelas, sekolah rendah)

Teori Motivasi Maslow

(Peringkat-peringkat dalam Teori Maslow ini sudah tidak asing lagi dalam dunia pendidikan)

Struktur dan fungsi di dalam badan organisme mempunyai keperluan yang tertentu. Telah diakui bahawa manusia sebagai makhluk yang paling tinggi mempunyai keperluan yang kompleks. Berdasarkan Atan Long ( 1976 : 131 ), Maslow (1954) telah menjelaskan bahawa keperluan-keperluan manusia itu berperingkat-peringkat. Sesuatu peringkat keperluan yang lebih tinggi tidak mungkin diperolehi sebelum keperluan yang lebih rendah peringkatnya dipenuhi terlebih dahulu. Pada peringkat yang paling asas terdapat keperluan hayat ataupun keperluan fisiologi. Setelah keperluan ini dipenuhi baharulah keperluan keselamatan, diikuti keperluan kasih-sayang, seterusnya peringkat penghargaan kendiri atau penghormatan diri dan peringkat tertinggi atau puncak bagi keperluan manusia adalah peringkat keperluan bagi penyempurnaan kendiri.
Peringkat keperluan manusia mengikut teori Maslow ini dapat dilihat seperti rajah di bawah:


7. Keperluan Estetik
6. Keperluan Mengetahui
5. Penyempurnaan Diri
4. Penghargaan Kendiri
3. Kasih Sayang
2. Keselamatan
1. Fisiologi

(Peringkat-peringkat keperluan dalam Teori Maslow)

Model Maslow yang berbentuk peringkat itu merupakan perkembangan ‘ontological’ individu kerana setiap peringkat perkembangan perlu dilalui oleh individu misalnya pada masa bayi atau kanak-kanak, individu memerlukan perlindungan dan keselamatan, diikuti dengan kasih-sayang, dan penghormatan diri dan keperluan ini terus bertambah sehingga kepada peringkat penyempurnaan kendiri. Kajiannya mendapati semakin tinggi keperluan individu itu maka semakin kurang pergantungan kepada persekitaran social kerana dalam hal ini individu menggunakan pengalaman lampau untuk menentukan tingkah-lakunya. Pada masa ini motivasi bergantung kepada kemahuan dalaman, kemampuan, potensi, bakat, dan kreativiti impuls individu. Sementara itu persekitaran sosial merupakan faktor desakan dalam mencapai kemahuan ini. Maka dengan itulah juga Maslow menamakan keperluan peringkat terbawah sebagai keperluan kekurangan dan peringkat paling tinggi sebagai keperluan perkembangan.

Friday, June 4, 2010

Program KIA 2M dan LINUS

KELAS INTERVENSI AWAL MEMBACA DAN MENULIS (KIA2M)
Mesyuarat Memperkasa Sekolah Kebangsaan pada 22 November 2005 telah mengambil ketetapan supaya masalah kegagalan menguasai kemahiran asas membaca dan menulis di kalangan murid Tahun 1 ditangani segera. Justeru, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui usaha mengatasi masalah ini. Satu program alternatif telah dirancang untuk menyelesaikan masalah penguasaan kemahiran membaca dan menulis ini. Program ini diberi nama “Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M)”. Setelah tamat mengikuti program intervensi ini, diharapkan murid dapat mengecam dan mengenal huruf dengan tepat, mengeja dan menyebut setiap perkataan dan ayat tunggal dengan sebutan yang betul dan memahami perkara yang dibaca. (Maklumat lengkap akan dimasukkan di bahagian download)

Program LINUS Guru Tahun 1 - 2010
Program Literasi Dan Numerasi (LINUS) akan mula dilaksanakan mulai 2010 hinga 2012 di seluruh negara. Program LINUS adalah bertujuan memastikan semua murid Tahun 1 pada 2010 dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis(literasi) dan mengira (numerasi) selepas tahun 2012, iaitu apabila berada di Tahun 4. Pelaksanaan progran LINUS ini merupakan sebahagian daripada NKRA Kementerian Pelajaran Malaysia yang disasarkan menjelang tahun 2012. Sehubungan itu, semua guru Tahun 1 yang mengajar Bahasa Melayu dan Matematik diwajibkan mengikuti kursus pengajaran dan pembelajaran modul LINUS mulai tahun 2010. Kursus tersebut yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru, KPM akan dilaksanakan di seluruh negara mengikut zon negeri masing-masing.

Teori behaviorisma dan cabaran guru.

Teori behaviurisme
Mengikut teori behaviurisme, sesuatu kemahiran dikuasai melalui proses pengulangan, iaitu mengulang sebanyak mungkin sesuatu kemahiran sehingga menjadi suatu kebiasaan atau rutin.
Teori ini sangat dominan dalam tahun 1950an dan 1960an dan masih berpengaruh hari ini. Behaviurisme dikaitkan dengan Pavlov di Russia (idea classical conditioning melalui “dog-salivation-experiment”nya iaitu membuatkan anjing meleleh air liurnya apabila loceng dibunyikan) dan Thorndike, Watson dan Skinner di Amerika Syarikat. Kebanyakan eksperimen awal golongan pengikut behaviurisme menggunakan binatang (Skinner misalnya menggunakan burung merpati dan tikus putih) yang memfokus kepada perlakuan refleksif organisma apabila dikenakan rangsangan (stimuli) tertentu. Ringkasnya, behaviurisme cuba menjelaskan pembelajaran tanpa merujuk kepada proses kognitif.
Berdasarkan kepada teori pendidikan seperti ini, guru memberikan sesuatu pelajaran/kemahiran kepada murid-muridnya secara berulang-ulang sehingga mereka benar-benar memahami sesuatu kemahiran yang hendak disampaikan sehingga objektif pelajaran tersebut benar-benar telah tercapai. Kaedah pembelajaran berlandasklan teori pembelajaran seperti ini sangat berkesan dilaksanakan kepada murid-murid tahap 1 terutama di Tahun 1. Misalnya kaedah ini digunakan untuk menjadikan murid-murid tersebut benar-benar dapat menguasai kaedah asas membaca dan mengira iatu untuk mengenal semua abjad rumi dan nombor-nombor asas. Namun demikian sebenarnya terdapat lagi banyak keadah dan teknik-teknik pembelajaran yang dipraktikkkan di sekolah sesuai dengan keperluan dan objektif pelajaran yang hendak disampaikan kepada para pelajar. Sebenarnya memang seseorang guru terlatih yang mengajar di sekolah telahpun didedahkan dengan kaedah-kaedah serta teknik-teknik pembelajaran yang berbagai jenis semasa mereka menjalani latihan di Institusi-institusi perguruan sebelum mereka ditugaskan ke sekolah-sekolah. Saya sebagai seorang guru yang telah bertugas selama 17 tahun amat berpengalaman dan dapat mengenalpasti keberkesanan sesuatu teori dan teknik pembelajaran ini. Apa yang dapat saya simpulkan ialah, seseorang guru yang cekap, jujur dan dedikasi harus memahami keperluan-keperluan pelajarnya kerana kebolehan seseorang pelajar itu kadang-kala berbeza dengan pelajar-pelajar yang lain. Di sinilah daya kreativiti ditambah dengan ketekunan serta ketabahan seseorang pendidik amat bermakna sekali. Sebagai contoh, secara puratanya 70% hingga 80% daripada murid-murid di Tahun 1 yang pernah saya ajar tiada langsung asas membaca dan mengira. Bahkan ramai di kalangan mereka tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda di rumah sebaliknya menggunakan bahasa-bahasa sukuan dalam etnik masing-masing.Bayangkan betapa sukarnya guru-guru mengubah mereka supaya menjadi penutur Bahasa Melayu serta menguasai kemahiran membaca dan menulis yang disasarkan sebaik sahaja mereka memasuki Tahun 3. Alhamdulillah biasanya sekitar 70% hingga 80% dari jumlah tersebut dapat mencapai objektif yang disasarkan. Manakala yang selebihnya memerlukan beberapa tindakan serta daya usaha yang lebih mencabar lagi. Berdasarkan permasalahan inilah maka kementerian pelajaran mengadakan program-program khusus yang dapat mengatasi mesalah pelajar tersebut. Beberapa program yang telah dilancarkan ialah seperti program KIA 2M dan program LINUS.