Friday, May 21, 2010

Tugas guru untuk mengajar.

Beralih kita kepada tugas guru yang ke-3 dalam senarai tugas guru yang telah saya nyatakan sebelum ini.
Tugas Mengajar.
Tugas guru sebagai tenaga pengajar di sekolah merupakan suatu bidang tugas yang paling utama dan suatu tugas dan tanggungjawab yang begitu sinonim dengan profesion keguruan. Tugas guru untuk mengajar murid-murid di bilik dajah begitu popular di kalangan masyarakat sehingga kerjaya sebagai guru kadang-kadang hanya dikaitkan dengan kerja mengajar semata-mata.
Baiklah, untuk meneruskan kupasan saya mengenai ‘tugas mengajar’ seorang guru, saya akan menerangkan dari beberapa sudut yang difikirkan perlu untuk diketahui oleh golongan pendidik itu sendiri mahupun masyarakat umum secara keseluruhannya.
Untuk memudahkan kita memahami, saya akan menerangkannya dengan menyenaraikan beberapa aspek yang dirasakan perlu diketahui, difahami dan dijelaskan.
Kelayakan untuk mengajar.
Seorang guru yang layak untuk mengajar murid di sekolah ialah mereka yang mempunyai kelayakan-kelayakan berikut dan diperakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (SPP).
1. Mempunyai kelayakan akademik.
2. Mempunyai kelayakan ikhtisas.
3. Terlatih dalam sesuatu bidang/ opsyen yang khusus.(Ini boleh berubah walaupun seorang guru telah tamat latihan. Ini disebabkan oleh kursus-kursus yang dihadiri atau melanjutkan pelajaran setelah berkhidmat)
4. Mendapat/menerima surat penempatan bertugas.
5. Memenuhi syarat-syarat perkhidmatan seperti mana yang terkandung dalam surat pekeliling semasa (contoh, menandatangani surat aku janji dan pilihan opsyen kwsp atau pencen serta pilihan umur persaraan).

Terdapat juga kes-kes di mana seorang guru yang mengajar di sekolah tidak memenuhi syarat-syarat seperti mana dalam butiran no.2, 3 dan 5 di atas. Mereka inilah yang digelar sebagai guru sandaran.


Bagaimanakah proses pengajaran dan pembelajaran di kelas dilangsungkan?

Sebelum seseorang guru itu masuk ke dalam bilik darjah untuk mengajar anak muridnya, mereka haruslah terlebih dahulu mestikan beberapa perkara sebagai persediaan awal telah dilakukan. Ini perlu dilaksana demi keberkesanan keseluruhan proses P&P di kelas tersebut. Perkara yang harus dilaksanakan ialah:

1. Memastikan murid yang diajar. (Kelas/ Tahun)
2. Menentukan jumlah murid dalam kelas tersebut.
3. Mengetahui kebolehan sedia ada murid.
4. Mengetahui dan menepati jadual masa yang telah ditentukan.
5. Memiliki dan mengajar berpandu kepada Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.Ini mesti bersesuaian dengan Tahun dan mata pelajaran yang diajar.
6. Guru telah menyiapkan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) subjek yang diajar.
7. Guru telah menyiapkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) subjek yang diajar.
8. Guru telah menyediakan bahan-bahan bantu mengajar dan menentukan latihan kepada murid.
9. Guru membuat catatan tentang latihan / kerja yang diberikan kepada murid serta maklum balas yang diperolehi daripada murid. ( Tarikh latihan diberi, jumlah murid yang menghantar dan yang tidak menyiapkan kerja yang diberikan. Catatan ini harus disampaikan kepada guru besar atau guru kanan kurikulum. Murid yang bermasalah dirujuk kepada guru kaunselor, guru disiplin dan kepada guru besar untuk membantu pelajar tersebut).
10. Selepas sesi pengajaran, guru harus mencatatkan dengan jelas kesan P&P di kelas tersebut dari segi keupayaan murid menerima kemahiran yang telah disampaikan. Ini harus dijelaskan dari segi kuantiti dan kualiti. Ini disebut sebagai ‘Refleksi’ pengajaran.


Inilah perkara-perkara yang mesti dilakukan oleh seseorang guru setiap kali mereka memasuki kelas untuk mengajar. Daripada sepuluh senarai yang telah saya nyatakan di atas, terdapat pula isi kandungan yang perlu diketahui, difahami dan dipraktikkan oleh guru yang mengajar. Misalnya, strategi dan kaedah-pengajaran serta teori-teori pembelajaran yang difikirkan sesuai. Semua ini perlu melibatkan segala sumber dalam bilik darjah termasuklah susun atur murid dalam kelas, bahan-bahan pengajaran, peralatan lain dan guru itu sendiri. (Ini akan saya bincangkan kemudian)

No comments:

Post a Comment